Rabu, 21 April 2010

Mudarat Kesihatan Jika Menghidupkan Aircond sebaik menaiki kereta.

Dilarang menghidupkan pendingin hawa sebaik menaiki kereta..! Bukalah tingkap terlebih dahulu sebaik memasuki kereta anda dan jangan sama sekali menghidupkan pendingin hawa. Berpandukan kepada kajian yang dijalankan, dashboard, sofa, pewangi udara menghasilkan Benzene, sejenis toksin yang menyebabkan kanser (carcinogen - ia dapat dikenalpasti melalui bau yang terhasil dari haba bahan plastik di dalam kereta). Disamping menyebabkan kanser, ia juga bertindak sebagai racun bagi tulang, menyebabkan anemia dan mengurangkan sel darah merah. Tindakan ini jika dibiar berlarutan akan menyebabkan Leukemia, meningkatkan risiko menghadapi kanser di samping punca keguguran.



Kadar pendedahan Benzene yang dibenarkan ialah 50 mg bagi setiap kaki persegi. Kereta jika diparkir di kawasan bebumbung dengan tingkap tertutup menghasilkan 400-800 mg Benzene. Jika dibiarkan dikawasan yang terdedah dengan tingkap yang tertutup pada suhu 60 darjah fahrenheit, tahap Benzene boleh meningkkat sehingga 2000-4000 mg, iaitu 40 kali dari tahap yang dibenarkan... dan penumpang di dalamnya akan menyedut toksik yang berlebih2an secara tidak sedar.



Cara yang dicadangkan untuk mengelakkan perkara ini dari berterusan ialah dengan membuka tingkap dan pintu terlebih dahulu untuk memberi udara di dalam beredar keluar. Benzene adalah sejenis toksik yang boleh mencemar buah pinggang dan hati, dan sukar pula bagi tubuh manusia untuk menyahkeluarkan toksik tersebut.

Rabu, 14 April 2010

PERINGATAN : Kubur penebus rasa bersalah

Cuba rakan baca ni bagus ni untuk peringatan kita bersama

بسم الله الرحمن الرحيم السلام عليكم

Abah berwasiat supaya kubur abah dan mak jangan dijadikan mangsa "penebus rasa bersalah" anak-anak. Maksudnya begini: Semasa ibu dan bapa masih hidup, anak-anak mengabaikan tanggungjawab mereka atas pelbagai alasan (sila rujuk kitab-kitab muktabar tentang tanggungjawab anak terhadap ibubapa) - alasan sibuk dengan urusan dunia yang tak akan habis sampai bila-bila, sibuk dengan urusan anak, isteri/suami masing-masing, sibuk dengan itu dan ini, hingga lah "tiba-tiba" salah seorang atau kedua-dua ibubapa mereka diperintah Allah untuk kembali kepadaNya... .. (sebenarnya tak ade kematian yang mengejut atau tiba-tiba - setiap kematian itu telah dirancang Allah lama sebelum manusia itu dijadikanNya. ... "tiba-tiba" itu hanya "tuduhan" manusia kerana bukankah kita rasa seronok hidup! Malahan pujangga dengan angkuhnya mendeklamasikan "aku mahu hidup 1,000 tahun lagi!)... Dalam kesedihan kerana kematian mereka, timbul lah rasa bersalah si anak kerana telah mengabaikan mereka semasa hayat, maka dilakukanlah perkara-perkara seperti berikut:
1. upah orang bacakan Al Quran 40 hari, 40 malam (anak tidak pulak membacanya kerana maklum lah sibuk belaka....)
2. upah orang bina kubur yang tercantik dan terhebat ("mak/abah memang patut diberi penghargaan ini kerana jasa mereka kepada aku"....)
3. tabur berbagai-bagai bunga atas kubur ("aku sayangkan mak/abah"... . walhal semasa hidup mereka, sekuntum bunga pun tidak pernah dihadiahkan! )
4. cetak kitab Yaasin (siap tulis kat kulit depan "sempena kematian ibu/bapaku tersayang... .") dan edarkan kepada masjid - macamlah surau dan masjid tak cukup-cukup kitab Yaasin
5. buat kenduri panggil "orang masjid" bacakan doa tahlil (maklum lah, anak tak sempat mendoakan ibubapanya. lagi pun "doa orang masjid ni lebih berkat"....)
6. buat pelbagai kenduri "hari peringatan ke-3, ke-7, tahun ke-47....." kematian ibubapa 7. sedekah pisang kat masjid......
8. buat upah umrah setiap tahun (walhal dulu semasa hayat mereka, langsung "takde bajet nak hantar mak/abah gi umrah"; lagi pun keperluan umrah itu hanya sekali sepanjang hayat sahaja!) Selepas itu boleh lah si anak tidur lena dan sempat pula membidas adik beradik lain dengan berkata, "aku dah tunaikan tanggungjawab aku pada bapak/mak. Kau tak buat ke?" Abah panggil semua ini sebagai "sindrom penebus rasa bersalah"- kerana " dulu aku tak buat semua itu, maka sekarang aku dah buat semua ini, jadi aku tak bersalah lagi!"..... Kalau inilah yang bakal terjadi kepada abah dan mak, maka abah berwasiat di sini, TAK PAYAH LAH anak-anak abah bersusah payah membuat pelbagai justifikasi dengan sindrom penebus rasa bersalah.... . memadai lah diselitkan satu ayat yang tak sampai satu nafas nak menyebutnya - "Ya Allah, ampunkan lah ibu bapa ku". Takde belanja wang ringgit, tak payah cari orang, tak payah susahkan diri. Sempurnakan solat (wajib untuk penebus diri sendiri masing-masing) dan doa lah meminta apa-apa dari Allah (untuk mendapat penebus diri sendiri masing-masing) dan selitkan lah ayat di atas(sebagai penebus diri sendiri dan untuk keselamatan ibubapa di alam barzah dan alam akhirat). Abah doakan apa-apa amal jariah yang abah dan mak lakukan dan apa-apa ilmu bermanfaat yang abah dan mak ajarkan kepada sesiapa pun dan diamalkannya - agar semua ini diterima Allah sebagi pelaburan kami di akhirat. Semoga semua anak-anak yang lahir dari sulbi kami menyempurnakan janji-janji mereka kepada Allah untuk menjadi hamba-hambaNya yang beramal soleh. Itu lah 3 harta yang akan mengiringi kami ke kubur dan tinggal kekal menemani kami sehingga kiamat...... .. Ambil iktibar dari lampiran di bawah.
Larangan dari Rasulullah shallallaahu 'alaihi wa sallam: Dari Jabir radhiyallahu 'anhu, dia berkata, "Rasulullah shallallaahu 'alaihi wa sallam telah melarang kuburan dikapur (di simen), dijadikan tempat duduk, dan juga didirikan bangunan diatasnya.."
(Hadith Riwayat Imam Muslim) Dan membawa bunga-bungaan / jambak-jambak bunga dan seumpamanya bersama jenazah adalah diharamkan yang telah menular di kalangan orang-orang Islam kerana mengikuti adat-adat orang kafir dan Melayu kunoh dalam upacara-upacara jenazah mereka. Juga kerana perbuatan tersebut boleh mensia-siakan harta tanpa faedah dan memberi makna bermegah-megah dan berbangga. Manakala hukumnya adalah haram jika kubur dibina menggunakan marmar (marble) dan seumpamanya, kerana amat berlawanan dengan ajaran Rasulullah shallallaahu 'alaihi wa sallam, juga kerana terdapat pembaziran harta yang ditegah syarak serta terdapat sifat bermegah dan menunjuk yang amat dimurkai Allah subhanahuwata' ala. Ali bin Abi Talib radhiyallahu 'anhu berkata kepada Abi Hayyaj Al-Asadi, "Tidakkah kamu mahu aku utuskan kamu untuk melakukan perkara yang aku diutuskan oleh Rasulullah untuk melakukan? Kamu hendaklah meruntuhkan semua berhala dan meratakan semua kubur yang ditinggikan orang." (Hadith Riwayat Imam Muslim)
P/s- So jangan la jadi anak yang tidak kenang budi…Selalu kata tak sempat lah…apa lah…tapi buat benda-benda pelik banyak masa…esok kita pun akan ada zuriat dan hidup ni mcm roda gak…awak buat orang so awak kena la plak…moral of the story awak piker la sendiri bagi yg masih ada mak bapak tuh termasuk la saya gak masih belum terlambat untuk dimulakan…

Selasa, 13 April 2010

Empat Punca Hidup Manusia Tidak Tenteram

SEKUMPULAN bekas pelajar sebuah universiti berkumpul menziarahi bekas pensyarah mereka. Pensyarah itu amat gembira menerima kedatangan bekas pelajar yang berjaya dalam jurusan dan kehidupan masing-masing. Mereka bertanya khabar dengan penuh mesra dan terus terang. Perbincangan berlanjutan sehingga menyangkut kepada permasalahan berbentuk peribadi. Ada yang mengeluh, mengadu dan meluahkan perasaan yang tertekan dengan pelbagai permasalahan, tekanan hidup berkeluarga, dengan rakan di tempat kerja serta masyarakat sekeliling.
Pensyarah itu hanya tersenyum dan terus menuju ke dapur untuk mengambil cawan pelbagai bentuk dan warna. Ada yang dibuat daripada tembikar, kaca dan plastik. Ada yang cantik, penuh hiasan, kelihatan mahal dan ada yang biasa saja dan murah. Pensyarah itu menjemput semua bekas anak murid itu minum menggunakan cawan pilihan mereka.
Apabila semua bekas pelajar itu mengambil cawan yang terisi air, dia pun berkata: ”Jika kamu perhatikan, semua cawan yang cantik dan mahal itu diambil, yang tinggal hanya cawan yang biasa-biasa dan murah! “Begitulah lumrahnya kita hanya akan memilih yang terbaik (menurut pandangan luaran), sebenarnya itulah punca masalah dan tekanan hidup yang kita semua hadapi!”
Apa yang kita perlukan sebenarnya adalah air, bukan cawan itu, tetapi kita secara tidak sedar memilih cawan yang cantik saja! Demikianlah kehidupan ini – ibarat air. Kerjaya, wang ringgit dan kedudukan dalam masyarakat semuanya umpama cawan yang beraneka warna itu. Semua itu adalah alat atau pemudah cara untuk meneruskan hidup tetapi kualiti hidup tidak berubah. Jika kita hanya menumpukan perhatian kepada cawan, kita tidak ada masa untuk menghargai, merasakan dan menikmati air itu!
Apa yang pensyarah itu katakan bertepatan dengan apa yang al- Quran bentangkan mengenai jiwa manusia yang selalu berkeluh kesah dan tidak pernah rasa cukup. Pelbagai permasalahan kita berpunca daripada empat perkara:
# Kita hanya memandang dan menginginkan apa yang ada pada tangan orang lain. Kita tidak nampak atau lupakan nikmat di dalam genggaman kita. Walhal, Allah telah berikan kepada kita. Oleh itu kita tidak rasakan ‘keseronokan’ atau terasa nikmat dengan pemberian itu.
# Kita terlalu banyak ‘komplen’ dan komen (mengadu) dan mengeluh serta menyalahkan keadaan sehingga kepada permasalahan sekecil-kecilnya dalam kehidupan dunia ini. Tetapi, kita sering lupa kesusahan dan penderitaan sebenar yang bakal kita hadapi di akhirat kelak.
# Kita terlalu mengejar kemewahan, kemegahan dan glamor kehidupan sehingga melupakan tujuan hidup kita sebenarnya. Inilah sebenar ujian hidup yang kadang kala kita rasakan amat memeritkan untuk dihindari, pada hal kita tahu ganjarannya adalah syurga daripada Allah.
# Kita selalu menganggap kehidupan di dunia ini untuk hidup selama-lamanya. Oleh itu, kita menghabiskan seluruh sumber dalam diri semata-mata untuk membina pengaruh, mengumpul harta dan kemasyhuran diri seolah-olah ‘kematian’ itu untuk orang lain, bukan untuk kita. Kita lupa semua kejadian akan mati dan walhal akhirat adalah kehidupan abadi.
Oleh itu, dari sekarang kita hentikan perangai suka komplen, komen dan berkeluh kesah. Kita hargailah kehidupan ini. Kita jalani kehidupan sebagai khalifah Allah, melakukan yang makruf, melarang perkara yang mungkar. Kita syukuri nikmat yang ada dan panjangkan nikmat ini kepada orang lain dengan memberikan khidmat menolong dan memudahkan kehidupan orang lain.
Pernah suatu ketika Saidina Ali ditanya oleh seorang lelaki: "Jika diberikan pilihan, mana satukah yang kamu pilih?, kehidupan di dunia atau mati? Jawapan baginda memeranjatkan lelaki itu: “Saya akan pilih kehidupan di dunia, melalui perjuangan dalam kehidupan ini, saya mendapat bekalan untuk mencapai keredaan Allah di akhirat kelak.”

Moga seluruh perjalanan hidup kita diredhai dan dirahmati oleh Allah. Apa guna hidup seorang hamba tanpa keredhaan penciptaNYA.